Senarai Perakuan-perakuan Tentang Disiplin Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979)
1. Dalam usaha untuk merapatkan hubungan di antara sekolah dengan masyarakat, adalah diperakukan supaya diperkemaskan lagi kegiatan-kegiatan PIBG agar tujuan-tujuan pertubuhan itu dapat dicapai dengan lebih memuaskan, dan ini termasuklah soal mewujudkan disiplin yang diingini di kalangan murid-murid.
3. Memandangkan bahawa mematuhi peraturan-peraturan sekolah itu merupakan satu latihan disiplin yang baik kepada murid-murid, maka adalah sangat-sangat mustahak segala peraturan di sekolah diterangkan kepada murid-murid supaya mereka betul-betul faham dan mematuhi peraturan-peraturan itu dengan penuh tanggungjawab.
4. Untuk menghindarkan kekeliruan di kalangan murid-murid, adalah diperakukan langkah-langkah diambil untuk menjelaskan kenapa kadang-kadang terdapat perbezaan antara amalan orang dewasa dengan nilai yang diajar di sekolah. Murid-murid perlu tahu bahawa geraklaku dan perbuatan yang sesuai bagi alam orang dewasa ada kalanya dianggap tidak sesuai bagi kanak-kanak atau murid-murid.
5. Namun demikian, mereka yang sentiasa rapat berdamping dengan murid-murid seperti ibu bapa dan guru-guru hendaklah seboleh-bolehnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik.
6. Adalah diperakukan bahawa semua sekolah hendaklah menggunakan perhimpunan murid-murid untuk menyemai, menanam dan memupuk perasaan cintakan negara di kalangan murid-murid.
7. Adalah diperakukan bahawa semua sekolah memperkemaskan lagi program-program kokurikulum dan dalam pelaksanaan program-program ini keutamaan hendaklah juga diberikan kepada kegiatan-kegiatan yang boleh memupuk disiplin di kalangan murid-murid. Di samping itu, guru-guru yang mengendalikan kegiatan kokurikulum hendaklah diberi pengiktirafan yang sewajarnya supaya mereka lebih bergiat lagi terutama dari segi penyeliaan kegiatan-kegiatan tersebut.
8. Adalah diperakukan bahawa:
Langkah-langkah yang positif hendaklah diambil untuk menyemai dan mengawas disiplin murid-murid di sekolah dengan melibatkan semua guru, dan bukan setakat guru-guru pengawas disiplin dan pengawas murid-murid sahaja.
Hukuman dera kepada murid-murid seperti merotan hendaklah dikekalkan. Guru Besar dan guru-guru lain yang tertentu diberi kuasa untuk merotan. Di samping itu guru-guru tersebut hendaklah diberi garis-garis panduan dalam menggunakan hukuman dera serta cara dan bila hukuman itu boleh dikenakan.
9. Oleh kerana disiplin merupakan satu masalah di sekolah-sekolah pada hari ini, maka adalah diperakukan Kementerian Pelajaran menyegerakan perancangan untuk:
Mengkaji semula nisbah guru/kelas seperti yang diperakukan dalam Pekeliling Pentadbiran Bil. 3/67
Mengkaji semula saiz kelas dan sekolah
Mengkaji semula kedudukan sekolah-sekolah yang mengadakan dua sidang.
10. Adalah diperakukan bahawa guru-guru hendaklah menunjukkan teladan yang baik supaya murid-murid sentiasa dapat mencontohi mereka. Guru Besar hendaklah memainkan peanannya memperbaiki sikap guru-guru yang kurang memberi sumbangan dalam pembentukan persekitaran pendidikkan yang baik di sekolah. Jika perlu, tindakan disiplin hendaklah diambil terhadap guru-guru yang menunjukkan tingkahlaku dan sifat peribadi yang tidak diingini.
11. Adalah diperakukan Perkhidmatan Panduan dan Kerjaya di sekolah-sekolah hendaklah dilaksanakan dengan sepenuhnya. Perkhidmatan ini hendaklah menitikberatkan kegiatan-kegiatan bimbingan dan tidak semata-mata kegiatan-kegiatan panduan kerjaya sahaja.
12. Adalah diperakukan murid-murid sendiri hendaklah dilibatkan dalam tanggungjawab membentuk disiplin di kalangan mereka. Hubungan antara murid dengan guru hendaklah sentiasa rapat dan saling bantu membantu khasnya apabila murid-murid menghadapi suasana kemusykilan.
13. Adalah diperakukan bahawa langkah-langkah hendaklah diambil supaya peranan peperiksaan dalam sistem persekolahan tidak melibatkan kemerosotan disiplin. Bentuk dan corak peperiksaan awam hendaklah dikaji semula supaya bukan sahaja murid-murid yang pandai merasai kejayaan dalam sesuatu peperiksaan bahkan murid-murid yang lemah juga boleh merasainya.
14. Dari segi pembentukan disiplin pertumbuhan sifat-sifat yang diingini mengenai sikap, perasaan, semangat dan sebagainya (bidang afektif) lebih penting daripada penguasaan bidang ilmu pengetahuan semata-mata (bidang kognitif). Oleh yang demikian adalah diperakukan kurikulum sekolah hendaklah juga menitikberatkan perkembangan sikap, minat, perasaan, value judgement, dan semangat yang diingini dari segi disiplin.
15. Adalah diperakukan bahawa kurikulum Sekolah Menengah hendaklah jangan terlalu ketat dan terlampau terikat kepada jadual waktu supaya membolehkan murid-murid di peringkat sekolah menengah meneroka, mengkaji dan memahami isu-isu yang berkaitan dengan moral dan etika. Rancangan-rancangan Radio dan TV Pendidikan serta bahan-bahan bacaan yang mempunyai nilai-nilai moral hendaklah juga digunakan untuk mencapai matlamat ini.
16. Adalah diperakukan supaya konsep kebebasan individu, hendaklah dinilai semula dalam konteks kehidupan rumahtangga, sekolah dan masyarakat sekeliling murid-murid supaya kebebasan individu yang diberikan kepada mereka dapat digunakan dengan sepenuh kebijaksanaan. Di samping itu nilai-nilai tradisional yang menggalakkan sikap bersopan-santun dan sikap hormat menghormati di antara golongan muda dengan golongan tua hendaklah terus disemai dan dipupuk.
Lampiran II
Perakuan-perakuan Tentang Disiplin dari "Laporan Mengenai Kedudukan Disiplin Murid" - 1987
1. Sekolah-sekolah perlu menjalankan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dengan lebih meluas dan berkesan lagi. Ini adalah selaras dengan konsep bahawa bimbingan dan latihan dapat menimbulkan keinsafan betapa mustahaknya sifat berdisiplin itu dalam kehidupan kemanusiaan.
2. Disiplin adalah sesuatu yang dipelajari dan dihayati hasil daripada latihan dan asuhan yang berterusan. Dengan itu segala peraturan yang dibuat hendaklah jelas dan dihayati oleh murid-murid supaya tujuan membina disiplin kendiri tercapai.
3. Masalah disiplin di kalangan murid memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak terbatas kepada tanggungjawab sekolah atau ibu bapa semata-mata. Selain daripada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), lain-lain agensi serta pertubuhan-pertubuhan masyarakat hendaklah turut sama memberi bantuan serta bimbingan untuk mempertingkatkan disiplin di kalangan murid-murid sekolah.
4. Disamping pendekatan-pendekatan seperti melalui nasihat, psikologi, bimbingan dan kaunseling adalah dipersetujui bahawa deraan dan hukuman rotan perlu dikekalkan. Walau bagaimanapun tindakan merotan di khalayak ramai tidak seharusnya menjadi satu amalan biasa di sekolah-sekolah sehingga meninggalkan kesan yang merosakkan ke atas diri murid-murid yang dihukum.
5. Disiplin adalah sifat dalaman murid-murid, iaitu mengenai peribadi dan sahsiah, maka perkara pokok kepada masalah disiplin adalah pendidikan rohani. Penyelesaian masalah disiplin murid boleh dilakukan melalui pendidikan agama dan moral kerana melaluinya dapat membina akhlak yang baik dan mulia di kalangan murid sekolah.
6. Semua pihak bukan sahaja guru-guru tetapi juga ibu bapa dan ahli-ahli masyarakat harus mengamalkan konsep kepimpinan melalui teladan pada setiap masa keana apa yang dipelajari oleh murid-murid dari orang dewasa akan dianggap sebagai sesuatu yang wajar dan akan diamalkan oleh mereka sehingga amalan itu menjadi sebati dan kekal sebagai sebahagian dari perwatakan mereka.
7. Nilai-nilai positif yang dititikberatkan di sekolah seharusnya juga diberi penekanan yang sama di rumah dan di tempat-tempat lain di luar sekolah. Jika nilai yang sama tidak dipupuk di luar sekolah maka sebarang nilai positif yang ingin diserapkan di sekolah tidak akan membawa kesan.
8. Keperluan memperbaiki perhubungan sesama manusia (interpersonal relations) yang meliputi corak dan perhubungan masyarakat sekolah, pengendalian masalah-masalah peribadi, perhubungan sekolah dengan masyarakat luar, amalan pengajaran dan pembelajaran, pelaksanaan peraturan dan sebagainya perlu disedari dan diberi tumpuan sewajarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan